Sedasarwarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru di dunia ini tentang isu penyebaran wabak penyakit COVID-19 yang telah menjadi berita hangat di seantero dunia. Kewujudan penyakit COVID-19 telah mengancam kesejahteraan dan keselesaan hidup masyarakat di seluruh permukaan bumi serta menjejaskan kemajuan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak kerajaan telah mengkodifkasikan peraturan yang dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan yang bertujuan menyekat pergerakan masyarakat bagi mengelakkan interaksi antara manusia yang berpotensi menyumbang kepada penularan penyakit COVID-19. Walaupun berada dalam waktu kecemasan yang amat berbahaya ini, sebuah pasukan yang dikenali sebagai Barisan Hadapan Negara telah diwujudkan bagi menangani isu global tersebut. Pasukan itu terdiri daripada beberapa pihak, iaitu doktor, jururawat, polis dan sebagainya. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa kita sebagai masyarakat seyogianya menghargai jasa dan pengorbanan Barisan Hadapan Negara. Persoalannya, apakah jasa dan pengorbanan mereka?
Pada hemat saya, Barisan Hadapan Negara telah berjasa dalam memastikan bilangan kes jangkitan COVID-19 diminimumkan dan berada dalam lingkungan terkawal. Hal ini amat penting untuk memelihara kesihatan masyarakat lain yang bukan mangsa-mangsa COVID-19. Misalnya, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia berganding bahu dalam memastikan masyarakat patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang diimplimentasikan oleh pihak kerajaan. Bukan itu sahaja, Barisan Hadapan Negara turut mempunyai jasa dalam menyembuhkan pesakit yang dijangkiti virus tersebut. Hal ini dapat digambarkan apabila setiap doktor dan jururawat yang bertugas di hospital menjalankan kewajipan mereka untuk merawat mangsa-mangsa COVID-19 dengan penuh tanggungjawab. Implikasinya, jumlah kes pesakit yang berjaya dirawat semakin meningkat. Oleh itu, persis kata mutiara, ‘bagai aur dengan tebing’, dengan adanya kerjasama antara pihak polis, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak doktor, penyebaran COVID-19 dalam negara kita dapat dikawal.
Dari aspek lain pula, Barisan Hadapan Negara turut menggalas tanggungjawab yang penting dalam memastikan kelangsungan hidup masyarakat lain yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. Tanpa kakitangan dan staf di pusat beli-belah dan pasar raya, masyarakat biasa akan mengalami kesusahan untuk mengakses sumber keperluan harian seperti makanan dan minuman. Mereka telah menawarkan diri untuk mengendalikan produk-produk makanan di pusat beli-belah dan memastikan pembelian serta pembayaran produk dijalankan secara lancar dan selamat. Tambahan pula, terdapat juga pekerja yang bertanggungjawab dalam kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan yang sering dikunjungi oleh masyarakat. Mereka telah mencuba sedaya upaya untuk mewujudkan kawasan yang bebas daripada virus dan selamat bagi masyarakat umum. Jelaslah bahawa dengan adanya bantuan mereka, kehidupan masyarakat masih dapat diteruskan. Walaupun jasa mereka tidak sebesar jasa doktor, namun kita masih perlulah menghargai jasa mereka dan tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa Barisan Hadapan Negara telah banyak mengorbankan tenaga dan masa mereka dalam menghadapi krisis ini. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka telah menghabiskan semua masa mereka di hospital yang ditugaskan sehingga tidak mempunyai peluang untuk berehat, apatah lagi pulang ke rumah untuk bersatu dengan ahli keluarga mereka. Bagi membuktikan perkara ini, kebanyakan doktor, jururawat dan staf telah mengalami insomnia serta kemurungan akibat persekitaran kerja mereka yang tidak sihat. Walaupun kelesuan dan keletihan wujud dalam kalangan mereka, mereka tetap berusaha gigih dan tidak berputus asa dalam berperang dengan virus COVID-19 itu kerana mereka sedar bahawa setiap masyarakat bergantung pada mereka untuk memulihkan kehidupan yang aman dan yakin bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh hal yang demikian, setiap masyarakat wajiblah menghargai pengorbanan mereka dan memberikan kerjasama dengan tidak mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebagaimana yang kita ketahui, pihak doktor, jururawat, dan staf hospital perlu meninggalkan keluarga dan saudara mereka semasa bertugas di hospital dalam menangani virus COVID-19 itu. Hal ini disebabkan tugas mereka yang berat lagi penting itu memerlukan tumpuan penuh dan komitmen daripada mereka. Impaknya, terdapat beberapa keluarga yang terpaksa menjalankan kehidupan tanpa ahli keluarga yang merupakan ahli dalam Barisan Hadapan Negara. Hal ini merupakan satu pengorbanan yang amat besar kerana mereka perlu berpisah dengan ahli keluarga mereka demi misi mereka sebagai seorang ahli dalam Barisan Hadapan Negara. Mereka hanya dapat bergantung pada rakan sekerja mereka untuk memperoleh dorongan. Dengan keadaan ini, sikap ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ wujud dalam pasukan mereka. Oleh itu, kita sebagai masyarakat biasa perlu bersyukur kerana kita dapat mengharungi bencana ini bersama-sama dengan ahli keluarga kita dan bukannya merungut kerana tidak mempunyai kebebasan.
Akhirulkalam, jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Barisan Hadapan Negara bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ahli-ahli Barisan Hadapan Negara yang merupakan harapan negara rela menanggung risiko yang tinggi untuk memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat negara terjamin. Oleh hal yang demikian, kita sebagai masyarakat biasa wajarlah menunjukkan penghargaan kita terhadap pengorbanan dan jasa mereka dengan memberikan kerjasama penuh kepada mereka dalam menghadapi malapetaka ini. Setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, dan taraf sosial perlu bersatu padu serta bermuafakat dalam waktu kecemasan ini agar isu COVID-19 ini dapat ditangani dengan secepat mungkin, bak kata cendekiawan, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.
• Irwin Fong