KUCHING: Seramai 681 penonton menyaksikan persembahan muzikal ‘The White Rajah Of Sarawak’ pada hari kedua persembahan tersebut di Dewan Besar ACCPC, St Joseph Cathedral di sini baru-baru ini.
Persembahan muzikal itu disertai hampir separuh daripada pelajar St Joseph’s Family Of School bertujuan mengumpul dana bangunan sekolah.
Persembahan itu sebahagian inisiatif pelajar mengumpul dana bagi membuat dewan baharu yang akan menempatkan dewan seni persembahan, bilik muzik dan bilik tarian.
Selain itu, persembahan tersebut merupakan sebahagian daripada Rainforest Fringe Festival dan mendapat 25 sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan individu.
Kisah daripada drama muzik itu mengenai perjalanan hidup James Anthony Brooke yang merupakan seorang lelaki berbangsa Inggeris mengembara meninggalkan negara asalnya, England datang ke pesisir Sarawak dan menjadi utusan Kesultanan Brunei.
Bersama penterjemahnya, banyak pengembaraan James hadapi menyebabkan dia jatuh cinta dengan Sarawak.
Akhirnya menjadi Rajah Putih pertama Sarawak. Bermulanya dinasti Brooke yang berusia 100 tahun yang terus hidup dalam ingatan hingga kini.
Pengisian watak drama muzik itu berdasarkan sejarah. Terdapat juga penambahan watak fiksyen sebagai tambah nilai drama muzik tersebut.
Watak utama sebagai James Brooke dibintangi oleh Zachary Aw yang merupakan alumni St Joseph Family of School.
Manakala watak utama lain adalah Ryan Isaac Lee memegang watak sebagai Thomas Williamson iaitu jurubahasa kepada James Brooke, Nathan Alan sebagai Pangiran Raja Muda Hashim, Benjamin Tiong sebagai Pangiran Indera Mahkota dan Isaac Lee sebagai Pangiran Badruddin.
Drama muzik tersebut turut dijayakan oleh 22 kru sokongan belakang pentas terdiri dapada pelajar rendah dan menengah St Joseph Family of School.